Pe-Zapin di Landasan Baharu Era Pandemik Covid-19

Setelah dua tahun berusaha dalam memastikan kelangsungan Pe-Zapin bagi memastikan tujuan dan matlamat tidak tersasar, pelbagai perkara telah dilaksanakan. Kami mengakui agak terkesan dengan suasana pandemik Covid 19 dalam menguruskan NGO dan ketiadaan dana membuatkan kami agak terbatas dalam menganjurkan aktiviti dan program tahunan kami.

Keterbukaan buat pertama kalinya seorang EXCO Kerajaan negeri Johor yang menjaga perihal kebudayaan negeri amat menyentuh hati dan sanubari kami. Penglibatan beliau dalam memberi sokongan dan dokongan kepada program kami amat meninggalkan kesan yang mendalam kepada kami. Bayangkan penubuhan NGO seperti Pe-Zapin ini selama 9 tahun akhirnya dipandang oleh tokoh masyarakat yang begitu prihatin. Tidaklah kami mengungkit yang lepas, tetapi ini adalah satu anjakan paradigma yang sesuai dengan masa dan tempatnya di mana kami begitu jelas dapat melaksanakan program walaupun tidak banyak program dapat dilaksanakan di kala pandemik berlaku. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Tuan Haji Mazlan bin Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya. Beliau amat prihatin dengan aktivis-aktivis seni budaya di negeri Johor sama ada meningkatkan kemahiran pendidikan dan juga taraf kehidupan mereka. Meskipun Pe-Zapin tidak menjadi anggota Majlis Kebudayaan Negeri Johor, tetapi sikap keprihatinan dan cakna beliau begitu bermakna kepada kami kerana telah menaja ramai bekas-bekas penari dan jurulatih-jurulatih tarian dalam Program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang persembahan tarian tradisional yang dianjurkan Pe-Zapin.

Pe-Zapin melalui program SKM dalam bidang persembahan tarian tradisional telah menjadi satu trendmark kepada negeri Johor yang mana Pe-Zapin telah menjadi Pusat Penilaian Amali yang pertama di negeri Johor dan yang pertama dalam membuka peluang kepada artis-artis budaya negeri Johor untuk melangkah jauh lagi dengan mendapatkan pengiktirafan akan bakat dan pengalaman melalui melalui Pengiktirafan Pengalaman Terdahulu(PPT) anjuran Pe-Zapin. Bahkan kini meluas dengan program SKM dalam persembahan muzik Tradisional, seni lakon teater dan operasi produksi pentas.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Tuan Haji Mazlan bin Bujang dan Kerajaan Negeri Johor Pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Hasni bin Mohammad atas pemberian Bantuan Sumbangan RM 500 Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0 kepada PENGGIAT SENI JOHOR yang telah mula dibayar pada secara Electronic Fund Transfer (EFT) bermula pada 19 Julai 2021. Ini satu inisiatif yang amat kami alu-alukan. Tahniah kami ucapkan.

Kami amat bersyukur dan berterima kasih atas usaha murni semua pihak yang terlibat. InshaAllah moga Pandemik Covid 19 ini cepat berakhir dan dapatlah kami menjalakan kehidupan seharian seperti biasa dan melaksanakan program-program kebudayaan di masa hadapan.

Oleh : Mohd Hasrizal bin Yusuf, Ketua Pengarang Buletin Pe-Zapin merangkap Naib Yang Dipertua Pe-Zapin

Published by Laman Web Rasmi Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor

Memartabatkan kesenian negeri Johor

Tinggalkan komen