Mesyuarat dalam Norma Baharu

Pe-Zapin seperti NGO yang lain perlu melaksanakan mesyuarat-mesyuarat yang penting bagi menjayakan program-program yang mendatang. Meskipun tidak dapat berkumpul untuk bermusyawarah, namun ia tidak menjadi halangan kepada Pe-Zapin yang sentiasa menasihati sesama kami agar menjaga S.O.P yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan di waktu Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 ini. Usaha bagi menjayakan aktiviti-aktiviti melalui musyarawah di atas talian dimanfaatkan Pe-Zapin sehabis mungkin. Generasi muda hari ini tidak kekok lagi untuk membincangkan segala idea, perancangan, kritikan membina dan mengulas di atas talian kerana ia juga amat efektif dan berkesan dalam mengekang jurang antara generasi yang berumur dengan generasi yang muda atau golongan belia. Pe-Zapin sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan melalui atas talian juga.

Tiada penerangan foto disediakan.

Perbincangan demi perbincangan dilakukan bagi memberi ruang dan masa kepada Pe-Zapin untuk menaiktaraf perkara-perkara yang boleh dimanfaatkan masyarakat terutamanya golongan pelajar. Menambah baik sistem penyampaian, menerokai cara baharu untuk menghebahkan aktiviti-aktiviti Pe-Zapin. Banyak perkara yang dibincangkan dan bagi memastikan pelaksanaannya, maka program yang pertama akan dilaksanakan iaitu Tuisyen Zapin Atas Talian buat pertama kali oleh Pe-Zapin. Kami amat mengalu-alukan kepada mereka yang berminat untuk belajar Zapin Johor di atas talian. Rujuk kepada hebahan kami di link berita kami bawah ini:

Mungkin imej 2 orang dan teks

InshaAllah, satu portal khas untuk cadangan akan kami lancar tidak lama lagi. Kepada masyarakat di luar sana yang terdiri daripada pelbagai lapisan dapat memberikan input, cadangan dan kritikan membina agar kami dapat melakukan perubahan pada setiap program yang kami anjurkan.

Mesyuarat dalam norma baharu ini sebenarnya amat mencabar namun jika mendapat kerjasama semua pihak pasti ia akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Oleh: Ketua Pengarang

Menerajui Pe-Zapin dalam Norma Baharu

Mengimbau kembali kenangan dari awal mula penubuhan Persatuan Penggiat Zapin Negeri Johor pada tahun 2009, saya mengakui bahawa sejak tahun itu banyak cabaran, kenangan indah dan liku-liku yang dihadapi Pe-Zapin dari tahun ke tahun. Sejak awal penubuhannya, saya menerajui Pe-Zapin atas keinsafan diri dan keinginan melihat satu dimensi baharu dalam menunaikan hajat dan impian para pengasas, penerus dan pewaris untuk memastikan kesinambungan usaha mereka itu akan kekal terpelihara dan jasa mereka dapat dikenang oleh anak cucu yang akan datang. Mengambil ibrah dalam pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, sudah pastilah, apa sahaja yang diperkatakan oleh para pengasas, penerus dan pewaris zapin-zapin yang ada di negeri Johor masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya. Boleh tanya saksi saya iaitu Puan Dianna, Setiausaha Pe-Zapin betapa besarnya harapan mereka.

Mungkin imej 1 orang

“Biarkan apa orang kata, yang penting niat kita untuk memberi yang terbaik untuk generasi muda. Mungkin mereka tidak sedar sekarang, tetapi suatu masa nanti pasti akan menyedari betapa berharganya kita”

– YDP Pe-Zapin, tahun 2015

Saya mengakui banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan seperti mana banyak program yang dianjurkan di awal permulaan Pe-Zapin ditubuhkan. Ini kerana kekangan daripada dana dan juga kekurangan tenaga kerja yang mampu memberi 100% komitmen dalam membantu NGO seperti Pe-Zapin ini untuk lebih ke hadapan lagi apatah ketika berhadapan dengan cabaran Pandemik Covid 19 ini. Kesukaran seperti inilah yang memberi cabaran kepada saya untuk memimpin Pe-Zapin dengan cara yang tersendiri. Saya amat bertuah kerana pada permulaannya, Mantan Naib Yang Dipertua iaitu Encik Noor, Penerus Zapin Lapis Batu Putih, banyak membantu saya diperingkat awalan program Pe-Zapin. Seterusnya pada tahun 2012, Cikgu Mohd Hasrizal yang menggantikan beliau adalah seorang yang membantu saya mengubah landskap kepimpinan tatkala banyak halangan yang pada saya tidak perlu saya kongsi. Biarlah ia menjadi satu kenangan pahit yang dikenang dan dijadikan panduan dalam mendepani isu-isu yang berkait dengan Seni Tari Zapin Johor itu sendiri. InshaAllah, dilapangkan Allah, suatu hari nanti, kita boleh berkongsi tentang cabaran terhebat yang pernah kami lalui dan harungi. Boleh dijadikan ikhtibar dan pengajaran dalam kita menguruskan sebuah badan NGO kebudayaan di negeri Johor ini. Di awal penubuhan Pe-Zapin, orang paling kuat sekali bekerja ialah Allahyarham Pak Akob, Pengasas Zapin Tenglu.

Alhamdulillah setelah 10 tahun penubuhannya, kami masih berada dipersada arena kebudayaan. Malah aspek-aspek perubahan Pe-Zapin itu sendiri telah dapat ditrampilkan dengan banyak idea-idea, program-program yang tidak difikirkan dan kami berterima kepada penaja-penaja yang pernah menaja program kami. Alhamdulillah, semua ringgit dan sen dimanfaatkan kepada para peserta yang menyertai program kami sama ada ditaja atau pun mereka membayarnya. Pihak Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara banyak membantu kami dalam menjalankan aktiviti dan memberikan kami peluang. Sebagai rakan strategik kebudayaan di negeri Johor, kami sentiasa berusaha meningkatkan kerjasama dengan pihak Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara. Kami juga berpeluang bekerjasama dengan pihak ASWARA dan banyak pihak lagi dalam menjayakan program-program Pe-Zapin di luar Johor. Kini kami menjalinkan kerjasama dengan pihak Nusantara Performing Arts Research Center dalam banyak perkara yang berkaitan dengan zapin Johor. Banyak cerita dan coretan yang saya akan nukilkan dikemudian hari. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Tuan Haji Mazlan bin Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor yang telah membantu kami dikala Pandemik Covid 19.

Kami menghargai pihak Bahagian Kokurikulum dan Kesenian di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang amat menyokong segala permohonan kami untuk menjalankan aktiviti di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah bahkan juga kelas pendidikan khas. Kami berterima kasih kepada pegawai-pegawai di bahagian berkenaan kerana memberi kami peluang dan ruang untuk menjayakan aktiviti-aktiviti mengikut tatacara yang dibenarkan. Program Permata Jauhar merupakan satu program kebanggaan kami kerana ia telah mendapat perhatian sekolah-sekolah di seluruh negara. InshaAllah, jika ada peluang sedemikian rupa akan kami teruskan selepas pandemik Covid 19 benar-benar berakhir.

Tidak habis di sini sahaja, saya akan coretkan lagi cerita tentang perhubungan Pe-Zapin dengan para penggiat seni di luar negara. Mengenai program SKM dan lain-lain. InshaAllah, ada masa saya akan nukilkan dan mungkin barangkali saya akan adakan sesi secara langsung di Facebook atau di mana-mana media sosial. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikut perkembangan Pe-Zapin sejak dari dulu lagi. Dikesempatan ini juga saya berharap agar Jawatankuasa Pe-Zapin sesi tahun 2021 hingga 2023 dapat menjalankan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin. InshaAllah, jika kita berganding bahu sudah pasti Pe-Zapin akan terus memercu ke hadapan.

Oleh : Ab. Razak bin Rahmat, YDP Pe-Zapin